Selasa, 16 April 2019 | 11:08am

Cedera bergaduh berebut perempuan

BALIK PULAU: Tiga lelaki cedera selepas terbabit dalam pergaduhan di bawah Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam, ketiga-tiga mangsa berusia antara 19 hingga 26 tahun itu dipercayai dipukul sekumpulan lelaki lain kerana masalah membabitkan teman wanita.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan AA Anbalagan, berkata hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dikatakan dipukul antara 15 hingga 20 lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala. Rakannya cedera akibat tikaman di perut dan luka di lengan, manakala seorang lagi ditikam di lengan kiri, selain semua mereka dirawat sebagai pesakit luar.

“Kita juga masih gagal mengenal pasti senjata digunakan suspek dan sedang meminta pihak pengurusan JSAHMS untuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, hari ini.

Dalam kejadian lain, Anbalagan berkata, syabu seberat 13.3 gram, cecair disyaki minyak syabu (28.17 kilogram), pelbagai bahan kimia lain dan alat pemprosesan dadah dirampas susulan kejadian kebakaran di sebuah pangsapuri di Jalan Paya Terubong di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya kini mengesan suspek yang melarikan diri ketika pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri memecah masuk ke rumah terbabit untuk memadamkan kebakaran, pada jam 9 malam.

“Suspek berusia 40-an dipercayai aktif memproses dadah di premis berkenaan sejak bulan lalu, selain kebakaran terbabit berpunca daripada dapur pemprosesan dadah yang menghasilkan kepulan asap.

“Kepulan asap itu dikenal pasti jiran suspek dan dimaklumkan kepada pihak pengurusan pangsapuri terbabit,” katanya.

Berita Harian X