Jumaat, 12 April 2019 | 7:19pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rawang ke Kuala Garing, pagi tadi.
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rawang ke Kuala Garing, pagi tadi.

Dua cedera dalam nahas 10 kenderaan

GOMBAK: Pemandu sebuah lori kren dipercayai mengalami masalah brek sebelum terbabit kemalangan dengan sembilan kenderaan lain di Jalan Rawang ke Kuala Garing, pagi tadi.

Berikutan itu, seorang pemandu dan kelindan lori tiga tan yang dirempuh sebuah lori pasir, cedera manakala pemandu kenderaan lain terselamat.

Dalam nahas jam 9.45 pagi itu, pemandu lori kren yang datang dari arah pekan Rawang dikatakan mengalami masalah brek ketika menuruni kawasan berbukit di laluan terbabit.

Pemandu lori kren jenis Kato berkenaan cuba mengelak daripada merempuh kenderaan di hadapannya dengan mengambil laluan di antara lorong kiri dan kanan, bagaimanapun ia melanggar sisi sebuah kenderaan Nissan Almera.

Ia kemudian terus melanggar sisi tiga lagi kenderaan yang berada di laluan berkenaan iaitu masing-masing sebuah PERODUA Myvi, Nissan Grand Livina dan lori tiga tan jenis Nissan.

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rawang ke Kuala Garing, pagi tadi.
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rawang ke Kuala Garing, pagi tadi.

Keadaan itu menyebabkan lori tiga tan terbabit termasuk ke laluan bertentangan sebelum ia dilanggar sebuah lori pasir yang datang dari arah Country Homes.

Dalam pada itu, lori kren jenis Kato terbabit terus melanggar sisi empat lagi kenderaan lain iaitu sebuah Nissan Sentra, Honda Jazz, Mercedes dan Honda Insight sebelum terhenti di bahu jalan sebelah kiri laluan terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata ketika kejadian, laluan berkenaan agak sibuk dengan kenderaan dan trafik bergerak perlahan.

“Pemandu lori kren berusia 61 tahun tidak cedera dan kita akan jalankan ujian saringan air kencing ke atasnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rawang ke Kuala Garing, pagi tadi.
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rawang ke Kuala Garing, pagi tadi.

Berita Harian X