Jumaat, 12 April 2019 | 11:17am
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Mersing ke Jemaluang, Kampung Gajah Mati, Mersing, malam tadi. - Ihsan Bomba Johor
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Mersing ke Jemaluang, Kampung Gajah Mati, Mersing, malam tadi. - Ihsan Bomba Johor

Dua maut nahas di Mersing

JOHOR BAHRU: Dua wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Mersing-Jemaluang, di Kampung Gajah Mati, dekat Mersing, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussin, berkata kemalangan pada jam 9.30 malam itu menyebabkan Zuriaty Abu Khalid, 36, dan Rohaya Ibrahim, 37, yang menaiki Proton Saga BLM maut di tempat kejadian.

Beliau berkata dua lagi mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max milik Ranhill SAJ pula iaitu K Sathasevam, 48, dan Mizan Mohamed, 35, hanya cedera ringan.

“Pihak bomba mengambil masa 40 minit untuk mengeluarkan Zuriaty dan Rohaya yang tersepit dan sebaik tiba juga pihak ambulans sedang memberikan rawatan kepada mangsa yang cedera sebelum mengesahkan kedua-dua mangsa Proton BLM meninggal dunia.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Mersing dan yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing mengesahkan kemalangan itu berlaku di Kilometer 9, Jalan Mersing-Jemaluang ketika Isuzu D-Max berkenaan dalam perjalanan dari Mersing ke Jemaluang.

Katanya, hasil siasatan mendapati Proton Saga BLM yang dinaiki Zuriaty dan Rohaya datang dari arah Jemaluang ke Mersing memasuki laluan kenderaan pacuan empat roda itu yang kemudiannya menyebabkan pelanggaran.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing bagi tujuan bedah siasat,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Berita Harian X