Khamis, 11 April 2019 | 12:52pm
Kemalangan membabitkan sebuah van sekolah dan dua kenderaan lain di Batu 22, Jalan Apas, semalam. - Ihsan PDRM
Kemalangan membabitkan sebuah van sekolah dan dua kenderaan lain di Batu 22, Jalan Apas, semalam. - Ihsan PDRM

6 pelajar cedera bas sekolah terbabit kemalangan

TAWAU: Seorang pelajar tingkatan satu terpaksa menerima 18 jahitan di bahagian muka manakala lima rakannya cedera selepas van sekolah yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Batu 22, Jalan Apas, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, van sekolah yang membawa lapan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakuba sedang dalam perjalanan menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balung.

Ketika tiba di tempat kejadian, pemandu van sekolah yang berada di laluan sebelah kiri dikatakan mengubah haluan ke lorong kanan untuk memotong sebuah lori yang berada di hadapannya sebelum dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada di lorong yang sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu van sekolah yang memotong secara berbahaya sehingga mengakibatkan perlanggaran dengan dua kenderaan lain.

“Akibat pelanggaran itu van sekolah terbabit terseret ke arah hadapan sebelum melanggar sebuah lori tiga tan jenis Isuzu yang berada di hadapannya.

“Kemalangan itu menyebabkan enam orang pelajar mengalami cedera ringan dengan seorang daripadanya menerima 18 jahitan di bahagian muka dan satu jahitan di bahagian tangan sebelah kanan.

“Pemandu van sekolah, pemandu pacuan empat roda dan pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Azizulkifli berkata, semua mangsa dihantar ke hospital dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besar Tawau.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian X