Khamis, 4 April 2019 | 12:10pm
CHANG Kok Kheongdidakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menyalahguna bayaran lebihan pinjaman rumah kedai membabitkan kerugian sebanyak RM100,000 lima tahun lalu. - Foto Muhammad Apendy Issahak
CHANG Kok Kheongdidakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menyalahguna bayaran lebihan pinjaman rumah kedai membabitkan kerugian sebanyak RM100,000 lima tahun lalu. - Foto Muhammad Apendy Issahak

Pengarah syarikat pemaju perumahan dituduh pecah amanah RM100,000

IPOH: Seorang pengarah sebuah syarikat pemaju perumahan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyalahguna bayaran lebihan pinjaman rumah kedai membabitkan kerugian RM100,000, lima tahun lalu.

Chang Kok Kheong, 60, didakwa melakukan pecah amanah jenayah membabitkan harta diamanahkan kepadanya sebagai seorang ejen, iaitu Pengarah Syarikat Energizer Properties Sdn Bhd dengan penguasaan ke atas bayaran lebihan pinjaman sebuah rumah kedai dibeli Ng Yee Kian, 52, dan Lee Sock Mei, 52.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini antara 24 Julai 2014 hingga 14 Julai 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.

Kok Kheong bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Shahril Adli Zain.

Julie Lack membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X