Sabtu, 30 March 2019 | 6:59pm
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf yang hilang Sabtu lalu akan diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). - Foto IHSAN BOMBA
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf yang hilang Sabtu lalu akan diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). - Foto IHSAN BOMBA

Bomba tetap teruskan cari Acap

JERTIH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneruskan operasi pencarian peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, walaupun beberapa agensi mencari dan menyelamat menghentikan operasi esok, JBPM Perak akan meneruskan pencarian tetapi dalam sekala yang kecil.

Katanya, JBPM tidak akan menghentikan operasi pencarian dan usaha mengesan mangsa akan diteruskan.

“Kita akan teruskan operasi mencari dan menyelamat sehingga mangsa ditemui walaupun ada antara agensi akan menamatkan pencarian esok,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Peringkat Negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian, di sini, hari ini.

Perasmian dilakukan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Mohamad Mentek.

Yang turut hadir Pengarah JBPM negeri, Azlimin Mat Noor.

Pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf yang juga dikenali sebagai Acap berasal dari Muar, Johor, disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25KM.

Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan pada Ahad lalu bermula di ‘check point’ enam iaitu lokasi terakhir mangsa dilihat.

Sepanjang tempoh pencarian itu, katanya, pasukan penyelamat memperoleh beberapa maklumat yang dijadikan petunjuk antaranya gambar, panggilan terakhir dan botol air disyaki milik mangsa.

Berita Harian X