Ahad, 24 March 2019 | 8:25pm
Muhamad Shakirin maut tersepit selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Parit Melana-Belimbing Dalam, di Alor Gajah, petang tadi. - Ihsan Bomba
Muhamad Shakirin maut tersepit selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Parit Melana-Belimbing Dalam, di Alor Gajah, petang tadi. - Ihsan Bomba

Pelajar UTeM maut tersepit kereta bertembung lori sawit

ALOR GAJAH: Pelajar lelaki Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut tersepit selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Parit Melana-Belimbing Dalam, di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, mengakibatkan mangsa, Muhamad Shakirin Muhamad Subri, 20, yang memandu PERODUA Viva maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata sebelum kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Durian Tunggal, manakala lori tiga tan dipandu lelaki berusia 42 itu pula dari arah bertentangan.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati pelajar berkenaan dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan lori membawa muatan kelapa sawit.

“Akibat perlanggaran itu, dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi NSTP, sebentar tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah Pegawai Kanak Bomba (PBK) II, Roslan Manas, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.42 petang, sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi, bomba mendapati terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu akibat bahagian hadapan kenderaan itu remuk.

“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengeluarkan mangsa selain terpaksa menggunakan pemotong hidrolik.

“Bagaimanapun, tiga individu termasuk pemandu yang menaiki lori terselamat dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X