Ahad, 24 March 2019 | 6:59pm
SEORANG pejalan kaki maut akibat dilanggar sebuah MPV ketika melintas jalan di Jalan Universiti, Rabu lalu. - Foto IHSAN PDRM
SEORANG pejalan kaki maut akibat dilanggar sebuah MPV ketika melintas jalan di Jalan Universiti, Rabu lalu. - Foto IHSAN PDRM

Saksi kemalangan maut pejalan kaki dirempuh MPV diminta tampil

PETALING JAYA: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Petaling Jaya sedang mengesan saksi kes kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Universiti menghala ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian berkenaan kira-kira jam 2.11 petang itu, mangsa dikenali sebagai B Bijaya, 66, dirempuh MPV jenis Toyota Alphard ketika melintas jalan dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Mangsa dikatakan cuba melintas dari arah bangunan Jaya One untuk ke kenderaan suaminya yang diletakkan di bahu jalan sebelum dilanggar Alphard berkenaan di lorong kanan laluan dua hala berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke PPUM bagi proses bedah siasat.

Hasil siasatan mendapati keadaan jalan kering dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan saksi, diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Mereka juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat BSPTD Petaling Jaya, Inspektor Mohd Nazreen Nasharuddin di talian 010-2105101.

Berita Harian X