Khamis, 21 March 2019 | 1:27am

Majikan, 2 rakan dipercayai bunuh pekerja

BUKIT MERTAJAM: Helah seorang majikan cuba memalsukan punca kematian pekerjanya gagal apabila dia ditahan selepas dipercayai membunuh mangsa di Taman Chai Leng, Perai di sini, malam tadi.

Perkara itu terbongkar apabila polis menemui kecederaan di kepala, muka dan lengan kanan mangsa, S Gehanathan, 38, yang bekerja sebagai pencuci kenderaan, dipercayai bukan berpunca daripada kesan kemalangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata mangsa dipercayai dipukul majikan dan dua rakannya sebelum ketiga-tiga suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, selepas dikatakan terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran tempat kerjanya, kira-kira jam 1.30 tengah hari, kelmarin.

“Mangsa yang mendapatkan rawatan kemudian disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam) dan laporan bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan berunsurkan jenayah dan bukan disebabkan kemalangan.

“Pemeriksaan polis ke lokasi dinyatakan mangsa terbabit kemalangan juga tidak menemui apa-apa kesan atau bukti yang menyatakan berlakunya kemalangan,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Susulan itu, Nik Ros Azhan berkata, polis menjalankan siasatan di pusat cuci kenderaan terbabit dan mendapati mangsa dipukul ketiga-tiga suspek kerana terdapat perselisihan faham dan disahkan tujuh rakan sekerja Gehanathan.

“Suspek bertindak sedemikian apabila mangsa dikatakan mengirim mesej yang mahu mengganggu isteri majikannya, selain mengugut akan mengganggu keluarga lelaki terbabit, menerusi aplikasi WhatsApp.

“Tindakan itu menyebabkan suspek bersama dua rakannya menarik mangsa masuk ke pejabat kedai terbabit. Mangsa dipukul hingga pengsan dan mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, majikannya mengarahkan semua pekerjanya memaklumkan lelaki itu terbabit dalam kemalangan jalan raya dan bukan cedera kerana dipukul,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di lokasi kejadian juga menemui percikan darah pada dinding bahagian ruang tamu dan sebatang kayu berukuran 0.95 meter, tin cat serta kayu mop, dipercayai digunakan sebagai senjata untuk memukul mangsa.

“Polis menahan majikan mangsa berusia 35 tahun dan seorang rakannya berusia 21 tahun untuk siasatan lanjut, selain sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki berusia 30 tahun yang turut bersekongkol dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X