Rabu, 20 March 2019 | 1:46pm
ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan yang tersepit di tempat duduk hadapan sebelum disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 15 jalan Lahad Datu - Sandakan. - Foto ihsan polis
ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan yang tersepit di tempat duduk hadapan sebelum disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 15 jalan Lahad Datu - Sandakan. - Foto ihsan polis

Bayi lelaki maut dalam kemalangan tiga kenderaan

LAHAD DATU: Bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 15 Jalan Lahad Datu - Sandakan, semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa yang menaiki kenderaan Isuzu Dmax, difahamkan tersepit di tempat duduk hadapan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kenderaan yang juga bapa mangsa berusia 25 tahun tidak mengalami kecederaan manakala kakaknya, 15, yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata dua lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu adalah sebuah lori 10 tan jenis Nissan dan sebuah bas penumpang jenis Scania.

Katanya, kejadian dikatakan berpunca daripada pemandu lori berusia 32 tahun yang hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh kenderaan dinaiki mangsa.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori dan bas penumpang bergerak menuju ke arah Lahad Datu manakala mangsa bergerak bertentangan menuju ke Sandakan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu lori yang hilang kawalan memasuki lorong bertentangan dan terlanggar pacuan empat roda berkenaan sebelum kenderaan mangsa sekali lagi dirempuh oleh bas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan lori berkenaan juga tamat tempoh sejak Mei 2017.

“Ketika kejadian, keadaan jalan raya lurus dan hujan lebat. Ketiga-tiga pemandu tidak disyaki mabuk, namun polis akan menjalankan ujian Toksikologi terhadap semua pemandu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Nasri berkata, pemandu lori dan pemandu bas ekspres serta 12 penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Berita Harian X