Isnin, 18 March 2019 | 3:15pm

Najib guna pelbagai cara lengahkan perbicaraan - Tommy Thomas

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tommy Thomas memberitahu Mahkamah Rayuan di sini, hari ini bahawa Datuk Seri Najib Razak membangkitkan pelbagai isu untuk melengahkan perbicaraan kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Beliau berkata, ini dapat dilihat apabila kedua-dua pihak sebelum ini sudah bersetuju bahawa kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan pihak pendakwaan dan pembelaan tidak pernah bertelagah mengenai perkara itu.

“Pemohon (Najib) bagaimanapun membangkitkan pelbagai isu untuk melewat-lewatkan perbicaraan pada setiap peringkat kes ini.

“Permohonan untuk mencabar kuasa Pendakwa Raya dalam rayuan ini adalah tidak berasas dan sehubungan itu kami mohon rayuan ini ditolak,” katanya.

Tommy berkata demikian dalam empat rayuan interlokutori dimohon Najib membabitkan tujuh tuduhan dihadapinya membabitkan dana SRC International.

Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah larangan tehadap media dan orang ramai daripada membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kes SRC International dihadapinya.

Najib juga merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mendapatkan beberapa dokumen mengenai kes itu, rayuan terhadap pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah mengetuai pendakwaan dan rayuan mengenai sijil pindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi oleh pendakwaan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC.

Beliau kemudian didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Zabariah Mohd Yusof, bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan, menetapkan Khamis ini bagi keputusan rayuan terbabit.

Peguam Negara, Thommy Thomas tersenyum ketika meninggalkan Mahkamah Tinggi di Putrajaya, Malaysia hari ini. - Foto EPA
Peguam Negara, Thommy Thomas tersenyum ketika meninggalkan Mahkamah Tinggi di Putrajaya, Malaysia hari ini. - Foto EPA
Berita Harian X