Selasa, 12 March 2019 | 5:05pm
Keadaan motosikal mangsa yang remuk. - Ihsan PDRM
Keadaan motosikal mangsa yang remuk. - Ihsan PDRM
Mayat mangsa ditutupi kain putih. - Ihsan PDRM
Mayat mangsa ditutupi kain putih. - Ihsan PDRM

Remaja maut rempuh lori

ALOR GAJAH: Seorang pekerja restoran makanan segera yang dalam perjalanan dari rumahnya di Muar, Johor, ke Kuala Lumpur, maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, dekat sini malam tadi.

Muhammad Dzulhani Nasir, 17, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dalam nahas berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, kira-kira jam 11.50 malam itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata mangsa dipercayai tidak sempat mengelak lori dipandu lelaki berusia 45 tahun yang mahu berhenti di lorong kecemasan.

Sebelum kejadian, katanya, pemandu lori berkenaan dikatakan memberi lampu kecemasan untuk berhenti di lorong berkenaan kerana ingin membuang air kecil.

“Mangsa yang kebetulan berada di belakang kenderaan berat itu kemudian dipercayai melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dilokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba.

“Jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat. Keterangan pemandu lori sudah diambil dan polis turut meminta kerjasama saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat,” katanya.

Hasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X