Sabtu, 9 March 2019 | 7:37pm

Rompak kedai serbaneka, dua lelaki diburu

SHAH ALAM: Polis sedang giat mengesan dua penjenayah yang menyamun sebuah kedai serbaneka di Seksyen 17 di sini, dengan bersenjatakan parang, semalam.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian yang berdurasi selama hampir seminit itu tersebar di media sosial yang menunjukkan premis berkenaan disamun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam mengenai kes samun itu, kira-kira jam 2 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati terdapat dua pekerja berada di kaunter manakala beberapa pelanggan sedang beratur membuat bayaran ketika kejadian.

“Dua suspek iaitu lelaki masing-masing berbaju Melayu hijau dan biru serta bertopi keledar kemudian memasuki kedai itu dengan bersenjatakan parang .

“Mereka kemudian mengambil tiga karton rokok berjumlah RM510 dan wang tunai RM200 daripada laci kaunter itu lalu melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, tiada mangsa mengalami kecederaan dan suspek menaiki motosikal Yamaha 135 LC yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Baharudin berkata, siasatan masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Kita sudah mengenal pasti kedua-dua suspek dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ravind di talian 012-2633203 atau 03-55202222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua penjenayah yang menyamun sebuah kedai serbaneka di Seksyen 17 di Shah Alam, dengan bersenjatakan parang, semalam.
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua penjenayah yang menyamun sebuah kedai serbaneka di Seksyen 17 di Shah Alam, dengan bersenjatakan parang, semalam.
Berita Harian X