Sabtu, 9 March 2019 | 10:28am
DUA nelayan yang melanggar syarat lesen Akta Perikanan 1985, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut Pulau Enoe dalam Ops Gelora di perairan Labuan. - Foto ihsan PPM
DUA nelayan yang melanggar syarat lesen Akta Perikanan 1985, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut Pulau Enoe dalam Ops Gelora di perairan Labuan. - Foto ihsan PPM

4 ditahan PPM di perairan Labuan

LABUAN: Empat termasuk dua pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam dua operasi berasingan di perairan Labuan, semalam.

Operasi bermula jam 7.30 pagi itu berjaya menahan dua lelaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dua nelayan yang melanggar syarat lesen Akta Perikanan 1985.

DUA lelaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora di kawasan laut Petronas Methanol Labuan di perairan Labuan. - Foto ihsan PPM
DUA lelaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora di kawasan laut Petronas Methanol Labuan di perairan Labuan. - Foto ihsan PPM

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata ketika anggotanya menjalankan tugas Ops Gelora, sebuah bot nelayan ditahan di kawasan laut Pulau Enoe manakala satu lagi bot ditahan di kawasan laut Petronas Methanol Labuan.

“Hasil pemeriksaan mendapati salinan lesen perikanan bot nelayan terbabit sudah tamat tempoh dan dua nelayan masing-masing berusia 25 dan 29 tahun itu terpaksa ditahan bersama bot serta 70 kilogram hasil tangkapan ikan mereka.

“Dalam operasi sama, PPM turut berjaya menahan seorang lagi lelaki yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan hasil maklumat lanjut, lelaki berusia 22 tahun itu mengaku baru sebulan bekerja sebagai kru bot nelayan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Mohamad Pajeri lagi, dalam satu operasi berasingan, pasukannya berjaya menahan seorang lelaki PATI berusia 20 tahun.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Labuan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11 (1) (b) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Berita Harian X