Rabu, 6 March 2019 | 9:05am
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta BMW selepas terbabit kebakaran di Bulatan Dataran, Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto NSTP
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta BMW selepas terbabit kebakaran di Bulatan Dataran, Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto NSTP

4 lelaki terselamat BMW terbakar

KUALA LUMPUR: Empat terselamat apabila kereta BMW yang mereka naiki terbakar selepas terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan berhampiran Bulatan Dataran, Jalan Kinabalu di sini awal pagi tadi.

Keempat-empat mangsa yang berusia lingkungan 30-an berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh orang awam serta anggota bomba yang bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian itu pada jam 12.49 pagi.

Jurucakap Bomba Kuala Lumpur, dalam satu kenyataan pagi tadi, berkata sebuah jentera pemadam dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dikejarkan ke lokasi untuk kerja menyelamat serta memadam kebakaran.

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta BMW selepas terbabit kebakaran di Bulatan Dataran, Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto NSTP
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta BMW selepas terbabit kebakaran di Bulatan Dataran, Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto NSTP

“Sebaik tiba di lokasi kita mendapati kereta terbabit sedang terbakar dan empat mangsa, kesemuanya lelaki berjaya dikeluarkan daripada kereta dengan selamat.

“Bagaimanapun, salah seorang mengalami kecederaan patah kaki manakala selebihnya hanya cedera ringan,” katanya lagi yang turut memaklumkan operasi itu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hisham Hamzan.

Katanya, kenderaan itu terbakar 100 peratus dan kesemua mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan.

Berita Harian X