Isnin, 4 March 2019 | 11:29pm
KEADAAN kereta dipandu penjawat awam melanggar penghadang besi di Kilometer 44 sebelum susur masuk ke pekan Dengkil. - NSTP/Ihsan pembaca
KEADAAN kereta dipandu penjawat awam melanggar penghadang besi di Kilometer 44 sebelum susur masuk ke pekan Dengkil. - NSTP/Ihsan pembaca

Kereta terbalik, pemandu maut

SEPANG: Seorang penjawat awam wanita maut selepas PERODUA Kancil dipandunya terbalik lalu, terlanggar penghadang besi dalam kemalangan di Kilometer 44 sebelum susur masuk ke pekan Dengkil dari arah Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata kejadian jam 6.10 petang itu menyebabkan pemandu, Shaarini Shari Pinansa, 38, yang juga kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, kenderaan mangsa dari arah Putrajaya ke Bandar Baru Salak Tinggi dan dalam masa sama serta dari arah yang sama, datang sebuah PERODUA Alza hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang PERODUA Kancil berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, PERODUA Kancil terbalik lalu terlanggar penghadang besi jalan kiri menyebabkan pemandunya tersepit dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang beralamat di Salak Tinggi, Sepang mengalami kecederaan pada kepala dan dada, manakala keseluruhan kenderaan dipandunya remuk teruk.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Abdul Aziz berkata, saksi kemalangan itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor R Kalidasan di talian 012-7952282.

Berita Harian X