Isnin, 4 March 2019 | 4:49pm
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din pada sidang media di Balai Polis Sungai Way, hari ini.
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din pada sidang media di Balai Polis Sungai Way, hari ini.

Geng Katik tumpas

PETALING JAYA: Modus operandi ‘Geng Katik’ melakukan jenayah samun, ragut, pecah rumah dan mencuri motosikal di tepi jalan sekitar Sri Damansara, di sini, dibongkar polis akhir bulan lalu.

Hasil maklumat awam dan risikan, Pasukan Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan lima lelaki dipercayai ahli kumpulan itu berusia antara 22 hingga 35 tahun di Damansara Damai, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata hasil siasatan dan pemeriksaan, pihaknya mendapati semua individu itu positif dadah jenis syabu dan memilik rekod jenayah lampau.

“Turut dirampas komputer riba, telefon bimbit, jam tangan, barang kemas, pisau dan komponen motosikal yang secara keseluruhan bernilai RM70,000.

“Kita juga ada memburu seorang lagi lelaki dikenali sebagai Syafiq Bangla, 37, dipercayai rakan ahli kumpulan itu yang sudah bergerak aktif sejak Januari lalu,” katanya pada sidang media di Balai Polis Sungai Way, di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, polis kini aktif menjejaki seorang lelaki dikenali sebagai Ng Mun Kiet atau Ah Kita, 42, bagi membantu siasatan kes pecah rumah di kawasan Empire City, Damansara, di sini.

“Sebelum ini, polis memberkas dua suspek lelaki berusia 42 dan 48 tahun, Sabtu lalu di Empire City.

“Kita dapati dua lelaki itu masing-masing memiliki 23 dan empat rekod jenayah.

“Pelbagai barang kes dirampas termasuk jam tangan, kamera, telefon bimbit dan peralatan pecah rumah bagi membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian X