Jumaat, 1 March 2019 | 9:00pm
MOHD Khairulanuar (kiri) dan Ketua Bahagian Operasi dan Peperangan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Komander Jamhari Katimin ketika sidang media mengenai bot pancung yang karam di perairan berhampiran Pulau Nunuyan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
MOHD Khairulanuar (kiri) dan Ketua Bahagian Operasi dan Peperangan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Komander Jamhari Katimin ketika sidang media mengenai bot pancung yang karam di perairan berhampiran Pulau Nunuyan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Mayat kanak-kanak ditemui, 5 masih hilang bot terbalik

SANDAKAN: Mayat seorang kanak-kanak ditemui, petang tadi, manakala lima lagi masih hilang selepas sebuah bot pancung terbalik di kira-kira lima batu nautika dari Pulau Nunuyan, dekat sini, semalam.

Mayat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi bot itu dilaporkan terbalik, oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 4 petang.

Lima yang masih hilang membabitkan dua lelaki termasuk tekong berusia 30 dan 38 tahun, seorang wanita berumur 42 tahun dan masing-masing seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan lelaki berumur setahun.

Terdahulu, bot tempur CB 90H dari pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan yang melaksanakan rondaan, menemui lima mangsa lain berpaut pada bot terbalik itu dan melambai ke arah mereka, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Kelima-lima mangsa dipercayai warga Filipina itu berpaut lebih 18 jam selepas bot dikatakan membawa 11 penumpang dalam pelayaran dari Pulau Taganak di negara berkenaan ke daerah ini, terbalik dilambung ombak.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid, berkata operasi SAR diaktifkan pada jam 2.03 petang tadi membabitkan dua aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), tiga aset TLDM dan dua aset Pasukan Polis Marin (PPM).

Beliau berkata, kelima-lima mangsa selamat berada dalam keadaan lemah serta trauma dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut, manakala siasatan awal mendapati mereka mendakwa adalah pemegang kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13).

“Ketika ditemui, semua mangsa juga tidak memakai jaket keselamatan dengan bot dinaiki dianggarkan berukuran tiga meter panjang dan satu meter lebar.

“Operasi mencari hari ini tertumpu di kawasan posisi asal bot terbalik dan dalam radius sekitar lima batu nautika,” katanya pada sidang media, di sini.

Mohd Khairulanuar berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pertalian antara setiap mangsa, sementara bot dinaiki mereka sudah dibawa ke pangkalan TLDM Sandakan.

Beliau berkata, operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.30 petang tadi dan akan diteruskan awal pagi esok.

Berita Harian X