Selasa, 26 Februari 2019 | 7:44pm
INSIDEN kebakaran feri di Langkawi, semalam, semalam. - Foto Ihsan Noor Fatiha Arshad
INSIDEN kebakaran feri di Langkawi, semalam, semalam. - Foto Ihsan Noor Fatiha Arshad

Jangan lindungi kecuaian insiden feri terbakar

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa diminta segera menyiasat insiden kebakaran feri di Langkawi, semalam.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammad Bakhtiar Wan Chik, berkata tindakan perlu diambil terhadap pihak yang cuai kerana ia turut membabitkan keselamatan lebih 50 penumpang yang dalam perjalanan ke Kuala Perlis.

“Alhamdulillah, tiada kehilangan nyawa dilaporkan tetapi kejadian ini perlu disiasat tanpa melindungi mereka yang bersalah.

“Setakat ini, insiden terbabit tidak memberi kesan terhadap sektor pelancongan di Langkawi.

“Kita tidak boleh lihat kesan dalam jangka pendek kerana kejadian itu bukan berlaku setiap tahun, malah boleh dikatakan jarang berlaku.

“Bagaimanapun, sudah tentu ia memberi kesan dalam aspek tertentu” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kalendar Seni Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), di sini, hari ini.

Semalam, lebih 50 penumpang sebuah feri berdepan detik cemas apabila kenderaan terbabit terbakar ketika dalam perjalanan dari Jeti Kuah ke Kuala Perlis.

Feri milik Dragon Star Shipping Sdn Bhd itu berlepas dari Jeti Kuah pada jam 2.30 petang sebelum panggilan kecemasan dibuat jam 3 petang.

Semua mangsa kemudian dihantar ke Jeti Kuah Langkawi selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

Berita Harian X