Isnin, 25 Februari 2019 | 10:14pm
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye . - Foto Farizul Hafiz Awang
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye . - Foto Farizul Hafiz Awang

Audit keselamatan terhadap bot, feri elak kebakaran - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa berkaitan dan operator bot serta feri perlu melakukan audit keselamatan terhadap kenderaan air mereka bagi mengelakkan berlakunya kemalangan termasuk kebakaran.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pada masa yang sama, Jabatan Laut Malaysia perlu mengarahkan semua operator feri dan bot melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pendawaian di dalam feri dan bot masing-masing agar ia berada di dalam keadaan yang baik.

Katanya, insiden kebakaran sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis jam 2.50 petang hari ini seharusnya membuka mata semua pihak mengenai kepentingan aspek keselamatan.

“Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, ia harus menjadi peringatan kepada semua pihak tentang kepentingan aspek keselamatan.

“Operator terbabit juga harus mempunyai pelan kecemasan untuk menyelamatkan penumpang, pelancong dan kakitangannya jika kemalangan berlaku di dalam feri atau bot mereka.

“Antara lain, mereka perlu melaksanakan latihan keselamatan dan pengungsian atau evakuasi sebagai sebahagian daripada rancangan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan mereka agar semua kakitangan bersedia untuk menghadapi sebarang jenis kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Lam Thye berkata, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994) menetapkan majikan termasuk operator feri dan bot menjalankan tanggungjawab menyediakan tempat kerja selamat untuk pekerja dan orang yang melawat dan menggunakan kemudahan terbabit, termasuk penumpang dan pelancong.

Dalam kejadian itu, seramai 52 orang penumpang terselamat, selepas sebuah feri dinaiki mereka terbakar dalam kejadian petang tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Kepten Zulinda Ramly berkata, ketika kejadian feri tersebut membawa penumpang dari Terminal Feri Kuah menuju Kuala Perlis.

Berita Harian X