Isnin, 25 Februari 2019 | 9:12pm
Pemilik bot pelancongan membantu memindahkan mangsa dari feri yang sedang terbakar sewaktu dalam perjalanan dari Terminal Feri Langkawi ke Kuala Perlis. - Foto ihsan Pembaca
Pemilik bot pelancongan membantu memindahkan mangsa dari feri yang sedang terbakar sewaktu dalam perjalanan dari Terminal Feri Langkawi ke Kuala Perlis. - Foto ihsan Pembaca

Siasatan feri terbakar secepat mungkin, elak kejadian sama berulang - Bomba

LANGKAWI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melakukan siasatan forensik ke atas feri yang terbakar di sini hari ini secepat mungkin, bagi mengelak kejadian seumpamanya berlaku kepada feri-feri yang lain.

Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra, Langkawi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shukri Ahmad Husaini, berkata bomba juga akan meminta penjelasan daripada pengusaha feri mengenai langkah keselamatan dan prosedur kecemasan yang dilaksanakan krew feri terbabit ketika kejadian.

“Bahagian forensik bomba akan membuat siasatan terhadap kebakaran tersebut, kita harap dapat selesaikan secepat mungkin, sebab ia mungkin melibatkan feri-feri lain dan penumpang lain juga nama baik Pulau Langkawi.

“Bomba juga akan buat post-mortem dan tanya syarikat feri kejadian sebenar, bagaimana penumpang ini dibawa semasa kecemasan hari ini berlaku,” katanya ketika ditemui di jeti penumpang Kuah di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejadian hari ini boleh dikatakan bernasib baik apabila tiada kemalangan nyawa atau kecederaan parah berlaku kepada penumpang yang mungkin kerana jumlah penumpang feri yang agak sedikit.

Bagaimana pun Mohd Shukri berkata, jika feri itu membawa penumpang dalam jumlah yang agak ramai, beliau khuatir tanpa prosedur keselamatan yang baik, ia mungkin membawa bencana lebih besar.

“Kita juga akan buat perbincangan semula dengan pihak pengusaha feri mengenai langkah-langkah, bagaimana untuk lebih bersedia dengan kejadian kecemasan seperti ini.

“Kita akan mengenal pasti di mana kelemahan dan minta syarikat ini berhubung dengan bomba untuk meningkatkan tahap keselamatan di dalam feri termasuk mungkin boleh bersama-sama mengadakan latihan kecemasan dengan kita,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 2.40 petang tadi, seramai 58 penumpang dan anak kapal berjaya diselamatkan selepas feri yang dinaiki terbakar di perairan berhampiran jeti penumpang di Kuah di sini.

Feri itu baharu 10 minit berlepas dari jeti itu menuju ke Kuala Perlis. – BERNAMA

Berita Harian X