Isnin, 25 Februari 2019 | 4:49pm
NAJIB Razak.
NAJIB Razak.

Pendakwaan kemuka rayuan penangguhan kes Najib

PUTRAJAYA: Pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraannya berhubung tujuh tuduhan berkaitan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Notis rayuan itu difailkan pada 12 Februari lepas.

Pengurusan kes dihadapan Timbalan Pendaftar Azniza Mohd Ali berlangsung hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed berkata rayuan pendakwaan itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 8 April ini.

Beliau berkata, pendakwaan perlu menunggu alasan penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum dapat memfailkan petisyen rayuan.

Sementara itu, peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan juga memerlukan alasan penghakiman untuk menolak rayuan berkenaan.

Pada 11 Februari, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmadi Asnawi, membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga menunggu keputusan rayuannya berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh dakwaannya oleh pendakwa raya.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, perbicaraan Najib tidak berjalan pada 12 Februari dan Mahkamah Tinggi menetapkan 13 Mac untuk pengurusan kes.

Pada 4 Julai tahun lepas, Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu dikenakan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa untuk sogokan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, beliau dikenakan lagi tuduhan di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama dari dana yang sama. – BERNAMA

Berita Harian X