Sabtu, 23 Februari 2019 | 6:53pm
ANGGOTA Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan persiapan untuk memusnahkan bom jenis Aerial 100 lbs buatan British yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh di Kluang. - NSTP/Ihsan PDRM
ANGGOTA Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan persiapan untuk memusnahkan bom jenis Aerial 100 lbs buatan British yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh di Kluang. - NSTP/Ihsan PDRM

3 hari letupkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua

KLUANG: Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengambil masa tiga hari untuk meletupkan bom Aerial 1000 LB ditemui di sebuah ladang di Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh, dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata usaha meletupkan bom lama sepanjang kira-kira 1.5 meter dengan ukur lilit 57 inci dan berat 200 kilogram (kg) itu bermula kelmarin, namun percubaan terbabit tidak berhasil.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha diteruskan sebelum bom buatan British dikenali sebagai UXO dan digunakan ketika Perang Dunia Kedua pada 1960 itu berjaya diletupkan dengan impak paling minimum, kira-kira jam 3.30 petang tadi.

“Hasil siasatan, pihak UPB mendapati bom itu mengandungi sejenis bahan dikenali sebagai Minol, iaitu bahan letupan sangat membinasakan pada ketika itu, dengan dipenuhi komponen aluminium yang mampu memanjangkan kadar letupan.

“Tugas meletupkan bom ini adalah yang paling lama dan menggunakan ramai pegawai serta anggota pernah dihadapi UPB. Kesempatan ini juga digunakan sebagai satu latihan dalam perkhidmatan bagi menambah kemahiran pegawai dan anggota,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Abduh turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terbabit, sama ada secara langsung atau tidak, dalam usaha memusnahkan bom itu.

“Syukur alhamdulillah kerana semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini, dan semua unit disuraikan ke pasukan masing-masing sebaik bom itu berjaya diletupkan,” katanya.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi Selasa lalu, seorang peladang menemui bom itu sebelum melaporkannya di Balai Polis Kampung Gajah.

Berita Harian X