X
Khamis, 21 Februari 2019 | 11:44pm

Suspek utama kes bunuh pengurus pusat hiburan ditahan

KUALA LUMPUR: Suspek utama yang diburu berhubung kes bunuh seorang pengurus pusat hiburan di Pusat Perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8, Petaling Jaya, dekat sini pada 16 Disember lalu ditahan petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata penahanan suspek yang berusia 28 tahun itu dibuat selepas polis berjaya mengesan kenderaan dinaikinya bersama dua lagi rakan di Taman Bukit Indah, Johor Bahru kira-kira jam 3 petang.

“Menyedari diekori, mereka memecut kereta Perodua Myvi untuk melarikan diri sehinggalah kenderaan itu dikesan semula berhampiran Pedas di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke ibu negara.

“Ketika cuba ditahan, pemandu kereta itu bertindak merempuh kereta polis namun semua mereka ditahan kira-kira jam 5.30 petang walaupun berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semakan mendapati seorang daripadanya adalah suspek utama yang diburu berhubung kes pembunuhan seorang pengurus pusat hiburan Disember lalu.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah kekerasan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dadah serta jenayah terancang mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Ketiga-tiga suspek akan direman esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi 16 Disember lalu itu, mangsa maut akibat ditetak selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika berdiri di luar sebuah pub di pusat perniagaan terbabit.

Mangsa yang menetap di Maxwell Towers, Jalan Gasing Indah, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan pada jam 7.40 pagi.

Lima individu ditahan pada hari sama untuk siasatan namun semuanya dibebaskan dengan dua daripadanya dibebaskan dengan bon jaminan.

Seramai tiga suspek disenarai sebagai individu yang dikehendaki dalam kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X