GOPENG: Lima penumpang sebuah bas ekspres cedera selepas bas dinaiki merempuh belakang treler di Kilometer 294 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, awal pagi hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.10 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dengan bantuan BBP Tapah kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kejadian kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres dengan treler.
"Lima mangsa cedera manakala 11 yang lain termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan.
"Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dibawa menggunakan EMRS (Perkhidmatan Perubatan Kecemasan) dan ambulans ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.
Menurutnya, operasi kemudiannya ditamatkan jam 1.47 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, ketika dihubungi mengesahkan berlakunya kemalangan itu dan memberitahu beberapa penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.