Khamis, 14 Februari 2019 | 11:21am

Imam mengaku tak bersalah miliki senjata

KUALA PILAH: Seorang pesara polis yang juga imam di Kampung Bukit Kadir, Nilai, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga dakwaan memiliki pistol dan peluru tanpa kebenaran selain mencuri senjata itu pada bulan lalu dan 2007.

Tertuduh, Sulaiman Abdul Rahman, 63, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nariman Badruddin, sebaik semua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Sulaiman didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Revolver 38 SPL 3 Smith&Wesson bernombor siri 335J43 tanpa kebenaran sah di rumah bernombor 5568, Jalan Sidang Mohd Nor, Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor, jam 11.40 pagi pada 27 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki tujuh butir peluru jenis Winchester 38 Special, sebutir peluru jenis 38 SPL dan sebutir peluru 38 SME tanpa kebenaran sah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Sulaiman didakwa mencuri pistol berkenaan dan 30 butir peluru milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kaunter stor Cawangan Persenjataan Balai Polis Kuala Pilah, jam 10 malam pada 27 Disember 2007.

Dia berdepan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli, peguam tertuduh, M Gobi, merayu supaya jaminan ditawarkan kerana anak guamnya perlu menjalani rawatan kesihatan berikutan mengidap kanser prostat.

Bagaimanapun, Nariman tidak menawarkan jaminan kerana membabitkan kes serius dan menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula.

Portal berita akhbar ini pada 26 Januari lalu melaporkan, tertuduh menumbuk muka isterinya sehingga cedera kerana berang dengan tindakan wanita itu memajakkan pokok rambutan dalam kawasan rumah mereka di Kampung Bukit Kadir, di sini.

Sumber polis dipetik berkata, suspek berusia 63 tahun turut didakwa melepaskan satu das tembakan ke udara kerana terlalu marah dengan tindakan isterinya itu.

TERTUDUH, Sulaiman (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga dakwaan memiliki pistol dan peluru tanpa kebenaran selain mencuri senjata itu pada bulan lalu dan 2007. - Foto Hazreen Mohamad
TERTUDUH, Sulaiman (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga dakwaan memiliki pistol dan peluru tanpa kebenaran selain mencuri senjata itu pada bulan lalu dan 2007. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X