Khamis, 14 Februari 2019 | 12:08am
KEMALANGAN maut membabitkan seorang wanita manakala suaminya cedera parah selepas bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 2.9 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari Puchong menghala ke Subang Jaya, petang semalam. - Foto Ihsan pembaca
KEMALANGAN maut membabitkan seorang wanita manakala suaminya cedera parah selepas bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 2.9 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari Puchong menghala ke Subang Jaya, petang semalam. - Foto Ihsan pembaca

Wanita maut, suami parah nahas motosikal dengan lori tangki

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut, manakala suaminya parah, apabila motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 2.9 Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dari Puchong menghala ke Subang Jaya, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.31 petang, Mifthahul Jannath Meera Mydin, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata nahas berlaku apabila motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan lori terbabit sebelum pembonceng wanita berkenaan terjatuh dan kepalanya digilis kenderaan berat terbabit.

Beliau berkata, suami mangsa, Mohd Izwan Abu Bakar, 34, pula parah di bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

“Jenazah wanita itu turut dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat. Bagaimanapun, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ada tiga lorong di lebuh raya berkenaan dan kemalangan berlaku di lorong kiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat, Abdul Nasser Peping, melalui talian 016-392 5903,” katanya.

Berita Harian X