Rabu, 13 Februari 2019 | 8:04pm
Mariani (gambar kecil) maut, manakala anak lelakinya berusia tiga tahun parah dalam nahas di simpang tiga Jalan Gemas-Pasir Besar, di Tampin, tengah hari tadi. - Ihsan Bomba
Mariani (gambar kecil) maut, manakala anak lelakinya berusia tiga tahun parah dalam nahas di simpang tiga Jalan Gemas-Pasir Besar, di Tampin, tengah hari tadi. - Ihsan Bomba

Wanita maut, anak berusia 3 tahun parah nahas

TAMPIN: Seorang wanita maut, manakala anak lelakinya berusia tiga tahun parah dalam nahas di simpang tiga Jalan Gemas-Pasir Besar, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku ketika Mariani Ahmad, 31, memandu kereta jenis Honda City dari arah Pasir Besar, dikatakan dalam perjalanan menjemput seorang anak lelakinya yang bersekolah rendah di daerah ini.

“Siasatan polis mendapati terdahulu sebuah lori milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dari arah Tampin, berhenti di simpang tiga berkenaan.

“Tidak lama kemudian, sebuah lori produk makanan ikan kering dikatakan merempuh lori SAINS itu dari arah belakang menyebabkannya menggelongsor ke tengah simpang.

“Wanita terbabit yang memandu dari arah Pasir Besar dipercayai gagal mengelak lalu merempuh lori berkenaan menyebabkan kereta itu berpusing beberapa kali,” katanya.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah dan mayat kemudian dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat, manakala kanak-kanak bersamanya di dalam kereta itu dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan.

Dalam kemalangan itu, tiga pekerja SAINS dilaporkan turut cedera, namun pemandu dan kelindan sebuah lagi lori terbabit tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X