Sabtu, 9 Februari 2019 | 1:36pm
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di Hakka Avenue Estate, Jalan Penrissen, di Kuching, awal pagi tadi.
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di Hakka Avenue Estate, Jalan Penrissen, di Kuching, awal pagi tadi.

Berputih mata 2 kenderaan musnah sekali gus

KUCHING: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada musnah dalam kebakaran di Hakka Avenue Estate, Jalan Penrissen, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dipercayai berpunca daripada kebakaran dua kenderaan, masing-masing jenis Toyota Vios dan Toyota Hilux, yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

Bagaimanapun, kecekapan anggota bomba memadamkan api sejurus tiba di lokasi jam 2.25 pagi, berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

“Setiba di lokasi, kami mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

“Kebakaran memusnahkan kedua-dua kenderaan dan turut menyebabkan kemusnahan di ruang letak kenderaan rumah berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.43 pagi. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran Bomba dan Penyelamat Sarawak,” katanya.

Berita Harian X