Jumaat, 8 Februari 2019 | 4:24pm
ORANG ramai melihat gerakan mencari mangsa lemas di Sungai Pedu, semalam. - Foto ihsan pembaca
ORANG ramai melihat gerakan mencari mangsa lemas di Sungai Pedu, semalam. - Foto ihsan pembaca

Pelepasan air ke Sungai Pedu rutin semasa

ALOR SETAR: Pelepasan air Empangan Pedu melalui Sungai Pedu, iaitu lokasi tragedi tiga beranak lemas semalam, adalah rutin semasa bagi musim penanaman padi dan bekalan domestik di Kedah dan Perlis.

Jurucakap Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), berkata pihaknya memulakan pelepasan air secara berterusan selama 24 jam bermula 6 Januari lalu, untuk kegunaan tanaman padi berikutan ketiadaan hujan lebat sejak tarikh terbabit.

“Pelepasan air adalah pada kadar 1,000 kaki padu sesaat sehingga 1,500 kaki padu sesaat mengikut keperluan harian dan pada 14 Januari, kadar pelepasan air empangan ditingkatkan kepada 2,000 kaki padu sesaat dan kemudian pada 18 Januari pelepasan adalah pada kadar 2,500 kaki padu sesaat.

“Bagaimanapun pada 4 Februari, pelepasan dikurangkan kepada 1,500 kaki padu sesaat berikutan pengurangan permintaan bekalan air untuk tanaman padi dan ia semakin dikurangkan kepada 1,300 kaki padu sesaat pada 7 Februari lalu, ” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas tragedi lemas membabitkan tiga beranak iaitu dua beradik, Nur Safia Samsudin, 16; Nur Sariza Hafniza Samsudin, 14 dan datuk mereka, Mad Ramli Ibrahim, 65 ketika berkelah di Sungai Pedu, dekat sini.

Ahli keluarga mangsa mendakwa, mereka lemas berikutan air sungai terbabit secara tiba-tiba menjadi deras berikutan air dari Empangan Pedu dilepaskan ke kawasan terbabit.

Pada masa sama, jurucakap MADA berkata pihaknya menghentikan air daripada Empangan Pedu selepas kejadian bagi membantu usaha mencari serta menyelamat mangsa lemas di Sungai Pedu.

“Kita menghentikan pelepasan atas permintaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membantu usaha menyelamat mangsa lemas pada jam 3 petang sebelum disambung semula pada jam 7 malam selepas operasi selesai,” katanya.

Berita Harian X