Khamis, 7 Februari 2019 | 7:02pm
ANGGOTA bomba dan penduduk kampung mengangkat mayat Mohamad Ramli yang ditemui lemas di Rumah Pam, Sungai Pedu, Kampung Tanjung. - Foto Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba dan penduduk kampung mengangkat mayat Mohamad Ramli yang ditemui lemas di Rumah Pam, Sungai Pedu, Kampung Tanjung. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Mangsa lemas sempat kemaskini status WhatsApp

KUALA NERANG: Salah seorang mangsa lemas di Sungai Pedu, dekat sini, sempat mengemaskini status WhatsApp ketika sampai di sungai berkenaan sebelum turun untuk mandi.

Nor Shariza Hariza Samsudin, 14, memuatnaik status ‘Hmm panas-panas’ pada jam 12.43 tengah hari tadi iaitu kira-kira 15 minit sebelum lemas pada jam 1 tengah hari.

Selain Nor Shariza, turut maut dalam kejadian itu ialah kakaknya, Nor Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan datuk mereka, Mohamad Ramli Ibrahim, 65.

Ibu saudara mangsa, Sabariah Shari, 46, berkata dia sempat melihat status yang dikemaskini arwah Shariza sebelum terkejut dimaklumkan mengenai kejadian menimpa mereka.

Katanya, dua beradik itu bersama ibu dan adik bongsu mereka yang menetap di Taman Persisir Kota, Kuala Kedah pulang ke kampung di Kampung Tanjung, Isnin lalu sempena cuti sekolah.

“Saya tidak sangka sebab kali terakhir jumpa mereka di rumah saya di Kampung Bokbok, saya sempat bergurau dengan mereka supaya jangan balik kampung lama sangat.

“Mereka memberitahu hendak balik kampung untuk berkelah dan mereka sempat makan beramai-ramai malam tadi sebelum berkelah hari ini,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Nerang.

Sebelum ini, jurucakap bomba menerima laporan pada jam 1.45 tengah hari bertindak melancarkan operasi mencari tiga mangsa berkenaan sebelum semua mereka ditemui kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Berita Harian X