Sabtu, 2 Februari 2019 | 12:13pm
GAMBAR fail, Anggota dari Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) menahan dua suspek dan merampas dua motosikal curi yang cuba diseludup ke sempadan Indonesia ketika menjalankan Ops Serkap di kawasan Am, Kampung Serikin, Bau. - Foto ihsan ATM
GAMBAR fail, Anggota dari Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) menahan dua suspek dan merampas dua motosikal curi yang cuba diseludup ke sempadan Indonesia ketika menjalankan Ops Serkap di kawasan Am, Kampung Serikin, Bau. - Foto ihsan ATM

Cubaan seludup motosikal curi tumpas

BAU: Cubaan lima lelaki menyeludup keluar empat motosikal curi ke Kalimantan Barat, Indonesia, melalui ‘jalan tikus’ di kawasan sempadan berhampiran Kampung Stass, di sini, semalam, digagalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, kesemua suspek dipercayai warga asing dilihat menunggang empat motosikal di kampung berkenaan sebelum cuba menyusup keluar ke wilayah berjiran.

Sumber memberitahu suspek sedang menuju ke kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat sebelum kehadiran mereka disedari sepasukan pegawai dan anggota ATM yang menjalankan operasi rondaan di perbatasan.

Katanya, anggota tentera yang menjalankan Ops Serkap mengarahkan suspek supaya berhenti namun mereka terus melompat daripada motosikal dan melarikan diri ke kawasan sempadan.

“Motosikal yang ditunggang suspek dipercayai cuba diseludup menggunakan laluan tikus kerana tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

“Terkejut dengan kehadiran anggota tentera, suspek akhirnya melarikan diri kerana bimbang ditahan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal yang ditinggalkan suspek tiada sebarang dokumen sah, termasuk cukai jalan.

Katanya, ia dipercayai di curi di negeri ini sebelum diseludup untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada individu tertentu di negara berkenaan.

“Anggota tentera juga menemui pemotong besi dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal berkenaan.

“Motosikal yang dirampas kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon mengesahkan rampasan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, hasil semakan mendapati dua daripada motosikal itu dilaporkan hilang sebelum ini.

Berita Harian X