Jumaat, 1 Februari 2019 | 4:47pm
ANGGOTA KPDNHEP menyerbu premis menjual pelbagai barangan tiruan secara terbuka di sekitar daerah Shah Alam dan Klang. - Foto ihsan KPDNHEP
ANGGOTA KPDNHEP menyerbu premis menjual pelbagai barangan tiruan secara terbuka di sekitar daerah Shah Alam dan Klang. - Foto ihsan KPDNHEP

KPDNHEP rampas 410 barang tiruan

SHAH ALAM: Tindakan tiga premis menjual pelbagai barangan tiruan secara terbuka sejak setahun lalu di sekitar daerah ini dan Klang, berakhir selepas diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, semalam.

Dalam serbuan bermula jam 3 petang itu, sejumlah 410 barangan tiruan membabitkan pakaian, beg, jam dan aksesori berjenama terkenal bernilai RM9,724 dirampas.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam, berkata serbuan itu hasil risikan dan aduan daripada wakil cap dagang mengenai kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaut keuntungan tanpa mengikut prosedur dibenarkan.

Katanya, wakil cap dagang itu membabitkan jenama Puma, Burberry, Michael Kors dan Tommy Hilfiger.

“Berdasarkan serbuan itu, pengusaha premis dengan beraninya menjual semua barang tiruan berkenaan secara terbuka.

“Harga dijual lebih rendah bagi menarik perhatian orang ramai untuk membeli barang tiruan terbabit,” katanya.

Azman berkata, siasatan lanjut mendapati sebuah premis di Klang tidak serik-serik menjual barangan tiruan meskipun sudah beberapa kali dikenakan tindakan.

Katanya, permintaan tinggi terhadap barangan tiruan itu mendorong peniaga ingkar terhadap larangan itu demi mengaut keuntungan segera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman sehingga RM15,000 bagi setiap barangan untuk pertubuhan.

“Bagi individu pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM10 bagi setiap barangan tiruan atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X