Jumaat, 1 Februari 2019 | 3:39pm
KEADAAN bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 305.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Gua Tempurung semalam. - Foto ihsan bomba
KEADAAN bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 305.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Gua Tempurung semalam. - Foto ihsan bomba

Pemandu bas rempuh treler ada rekod saman

KAMPAR: Pemandu bas ekspres yang terbabit kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan tanah liat di Kilometer 305.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Gua Tempurung semalam, mempunyai satu rekod saman.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim, berkata siasatan polis juga mendapati bas yang dipandu lelaki itu juga mempunyai dua rekod saman membabitkan kesalahan pandu laju dan melanggar lampu isyarat.

Katanya, saman terhadap pemandu bas berusia 38 tahun itu adalah kerana memandu laju manakala saman terhadap bas terbabit pula adalah ketika ia masih di bawah pengurusan syarikat lama.

“Ujian urin masih belum dijalankan terhadap pemandu bas kerana keadaannya yang parah di bahagian lutut dan sedang menerima rawatan di HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) di Ipoh.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sementara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan pula dibawa ke IPD Kampar untuk pemeriksaan Puspakom,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Hasron berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lima penumpang serta pemandu bas parah, 21 penumpang cedera manakala lima yang lain termasuk pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

Katanya, bas membawa seramai 29 penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Ipoh itu dipercayai merempuh belakang treler yang juga dari arah yang sama.

“Empat penumpang bas terperangkap dan parah sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan empat penumpang bas ekspres berkenan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dengan bantuan BBP Tapah.

Berita Harian X