Khamis, 31 Januari 2019 | 11:16pm
Kemalangan membabitkan bas dengan treler di Kilometer 305, lebuh raya PLUS arah utara dekat Gua Tempurung, hari ini. - Ihsan Bomba
Kemalangan membabitkan bas dengan treler di Kilometer 305, lebuh raya PLUS arah utara dekat Gua Tempurung, hari ini. - Ihsan Bomba
Seramai 16 penumpang dan seorang pemandu cedera dalam nahas membabitkan bas dengan treler di Kilometer 305, lebuh raya PLUS arah utara dekat Gua Tempurung, hari ini. - Ihsan Bomba
Seramai 16 penumpang dan seorang pemandu cedera dalam nahas membabitkan bas dengan treler di Kilometer 305, lebuh raya PLUS arah utara dekat Gua Tempurung, hari ini. - Ihsan Bomba

16 penumpang dan pemandu bas ekspres cedera kemalangan dengan treler

GOPENG: Seramai 16 penumpang dan seorang pemandu cedera selepas bas ekspres dinaiki terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 305, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Gua Tempurung di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, empat daripada mangsa yang cedera tersepit manakala 13 lagi penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan kecemasan jam 6.06 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu BBP Tapah.

Katanya, sebaik tiba, bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres dan treler membawa muatan besi buruk sebelum mendapati terdapat empat mangsa tersepit.

Menurutnya, empat mangsa iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun itu tersepit di bangku penumpang bahagian belakang pemandu.

“Anggota BBP Gopeng dan Tapah kemudiannya melakukan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan menyelamat hidraulik untuk mengeluarkan empat mangsa yang tersepit.

“Kesemua mereka berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan termasuk 13 lagi mangsa lain yang cedera. Operasi ditamatkan jam 9.04 malam tadi,” katanya.

Berita Harian X