Khamis, 31 Januari 2019 | 8:28pm
Laluan arah utara di Kilometer 305.2 lebuh raya PLUS arah utara, dekat Gua Tempurung, ditutup sementara susulan kemalangan membabitkan bas ekspres dan treler. - Ihsan Bomba
Laluan arah utara di Kilometer 305.2 lebuh raya PLUS arah utara, dekat Gua Tempurung, ditutup sementara susulan kemalangan membabitkan bas ekspres dan treler. - Ihsan Bomba

Kemalangan bas dan treler: laluan PLUS arah utara ditutup sementara

IPOH: Laluan arah utara di Kilometer 305.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Gua Tempurung, ditutup sementara selepas berlaku kemalangan membabitkan bas ekspres dan treler.

Difahamkan, kemalangan yang berlaku pada jam 6.30 petang tadi itu menyebabkan empat orang yang berada dalam bas cedera.

Kemalangan turut menyebabkan kesesakan teruk selepas laluan itu terpaksa ditutup bagi membolehkan pihak bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat.

Menurut laman Twitter PLUS, penutupan jalan itu menyebabkan kesesakan sehingga 13 kilometer selepas kedua-dua laluan arah utara terpaksa ditutup sementara.

“Kemalangan bas dan treler di KM 305.2 arah utara. Lorong kiri dan kanan ditutup sementara bagi kerja-kerja menyelamat oleh pihak bomba. Trafik sesak 13 kilometer,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerusi maklumat awal berkata kemalangan membabitkan bas dan treler itu mengakibatkan empat mangsa termasuk tiga wanita yang berada dalam bas cedera.

“Empat mangsa terbabit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan sudah dibawa ke Hospital Gopeng oleh EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) Tapah dan EMRS Gopeng serta ambulans.

“Setakat ini difahamkan kesemua mangsa cedera, tiada membabitkan kemalangan jiwa,” katanya.

Berita Harian X