Isnin, 28 Januari 2019 | 2:18pm

Beg tangan berjenama tiruan dirampas

KUALA LUMPUR: Tiga stor simpanan beg tangan dan dompet wanita jenama Bonia, Louis Vuitton, Longchamp, Carlo Rino dipercayai tiruan digempur dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara Khamis lalu.

Serbuan dilakukan pada jam 12.30 tengah hari oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), hasil maklumat dan risikan yang dijalankan beberapa hari sebelum itu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Low Swee Hon, berkata untuk masuk ke dalam stor berkenaan pihaknya terpaksa memotong pengunci stor sebelum menemui barangan tiruan yang disembunyikan.

“Dalam serbuan yang membabitkan tujuh anggota penguat kuasa itu, kami menemui 5,295 unit barangan beg tangan dan dompet wanita yang dianggarkan bernilai RM527,700.

“Siasatan yang dijalankan juga mendapati semua barangan tiruan ini akan dipasarkan ke sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di pejabat KPNDHEP WPKL, di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merekodkan kenyataan seorang wanita yang juga pekerja premis berkenaan serta seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik sebuah stor yang diserbu.

“Berdasarkan siasatan yang dibuat ke atas mereka mendapati beg tangan dan dompet wanita ini dipercayai dibawa masuk dari luar negara dan stor ini sudah beroperasi sejak dua tahun lalu.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sepanjang tahun lalu, nilai rampasan barangan tiruan yang direkodkan mencecah RM2.91 juta dengan 92 kes dicatatkan, manakala pada tahun ini sahaja, sebanyak lapan kes direkodkan dengan nilai sitaan barangan sebanyak 5,370 unit bernilai RM545,823.

Beberapa lokasi utama seperti Bukit Bintang, Lorong Haji Taib dan Jalan Petaling (Petaling Street), dikesan sebagai lokasi panas aktiviti penjualan barangan tiruan pelbagai jenama seperti Chanel, Nike, Gucci, Puma dan sebagainya.

KETUA Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Low Swee Hon (tiga dari kiri) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media di pejabat KPNDHEP WPKL, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa
KETUA Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Low Swee Hon (tiga dari kiri) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media di pejabat KPNDHEP WPKL, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X