Isnin, 21 Januari 2019 | 3:28pm
Hirwan (tengah) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret, Ayer Keroh selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut mahu membunuh bapanya. - NSTP/Muhamamad Zuhairi Zuber
Hirwan (tengah) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret, Ayer Keroh selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut mahu membunuh bapanya. - NSTP/Muhamamad Zuhairi Zuber

'Memang aku akan tikam abah sekali lagi'

MELAKA: Padah mengugut mahu membunuh bapanya, seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hirwan Aman, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah iaitu menendang pintu dengan kuat dan menyebut ugutan secara lisan ‘nanti tunggu, memang aku akan tikam abah sekali lagi’ terhadap ibunya yang berusia 64 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Bukit Darat, kira-kira jam 7.30 malam, pada 9 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Liyana Zainal Abidin yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela hanya mendiamkan diri ketika diminta untuk membuat rayuan jaminan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Berita Harian X