Ahad, 20 Januari 2019 | 3:14pm

Satu tan daun ketum bernilai RM50,000 dirampas

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah merampas kira-kira satu tan daun ketum dianggarkan bernilai RM50,000 dalam serbuan di Kampung Lam Din, Naka, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan diketuai Inspektor Ananda Krishnan pada jam 11.30 malam di kawasan kebun getah itu, daun ketum terbabit ditemui siap berbungkus disyaki untuk tujuan penyeludupan ke Kelantan.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman, berkata ketika serbuan, dua suspek disyaki berada di kawasan itu berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggotanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah khemah kanvas menemui sejumlah beg plastik hitam berisi plastik putih disyaki mengandungi daun ketum.

“Selain itu, kami menemui sebuah kereta jenis Honda FD berwarna hitam diletakkan di belakang khemah berkenaan. Pemeriksaan lanjut kemudian menemui sejumlah plastik hitam disyaki berisi daun ketum di bahagian tempat duduk kereta itu.

“Selepas menunggu hampir sejam, tiada sesiapa datang mengambil kereta itu lalu kami merampas kenderaan berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM, di sini, hari ini.

Abd Latif berkata, rampasan membabitkan sejumlah 118 bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi daun ketum bernilai sekitar RM50,000 yang ditemui di dalam khemah kanvas dan kereta berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati daun ketum itu dipercayai dipetik dari ladang di kawasan kebun getah berkenaan. Sebanyak 98 peratus daripadanya siap dibungkus disyaki untuk dihantar ke Kelantan berikutan permintaan tinggi di sana.

“Selain itu, kita percaya kemungkinan besar ada kenderaan lain datang ke kawasan berkenaan untuk mengutip bungkusan daun ketum terbabit sebelum dibawa ke Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya daun ketum itu berkemungkinan untuk diseludup ke Thailand melalui Kelantan kerana jualan di negara jiran mampu mencecah dua kali ganda.

Dalam serbuan itu, Abd Latif berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal Yamaha 125Z bernilai RM10,000 dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan daun ketum berkenaan.

Beliau berkata, rampasan malam tadi adalah yang terbesar membabitkan daun ketum pada tahun ini dengan nilai keseluruhan daun ketum dan kenderaan dirampas ialah RM140,000.

“Semua barangan rampasan dibawa ke pejabat AKSEM, di sini, sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

KOMANDER Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah, Abd Latif Abdul Rahman menunjukkan sebahagian daun ketum segar yang dirampas di Kampung Lam Din, Naka, Kuala Nerang. - Foto Sharul Hafiz Zam
KOMANDER Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah, Abd Latif Abdul Rahman menunjukkan sebahagian daun ketum segar yang dirampas di Kampung Lam Din, Naka, Kuala Nerang. - Foto Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X