Sabtu, 19 Januari 2019 | 9:40pm
LOKASI seorang peniaga restoran maut akibat ditikam di Jalan Kerapu 23, Taman Permai, awal pagi tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin
LOKASI seorang peniaga restoran maut akibat ditikam di Jalan Kerapu 23, Taman Permai, awal pagi tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Peniaga restoran maut ditikam

SEREMBAN: Seorang peniaga restoran maut akibat ditikam di perut oleh peniaga kedai runcit dalam pergaduhan di Jalan Kerapu 23, Taman Permai, di sini, awal pagi, hari ini.

D Shaleni, 31, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, jam 4 petang tadi.

Sumber berkata, terdahulu dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa dan suaminya yang berusia 49 tahun serta rakan berusia 60 tahun meletakkan kereta di hadapan kedai runcit terbabit untuk ke restoran mereka yang terletak berhampiran.

“Ketika itu, anak lelaki peniaga kedai runcit berusia 14 tahun bermain lampu laser dan terkena pada muka rakan pasangan berkenaan, menyebabkan mereka memarahi remaja itu.

“Pasangan itu kemudian masuk ke kedai runcit sebelum berlaku pertengkaran dengan ibu remaja terbabit yang kemudian menghalau mereka keluar dari kedainya.

“Suami mangsa kemudian dipercayai mengambil pisau pemotong sayur lalu mengacukannya kepada ibu remaja berkenaan. Tindakannya itu menyebabkan suami wanita itu yang juga pemilik kedai runcit masuk campur sehingga berlaku pergelutan.

“Pergelutan berlarutan ke depan kedai dan mangsa cuba meleraikan kedua-dua mereka sebelum pemilik kedai runcit berkenaan tertikam perut mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, akibat tikaman itu, mangsa parah dan tidak sedarkan diri, manakala suaminya cedera di dahi serta kedua tangan manakala rakan mereka cedera di dada dan tangan.

Sumber berkata, suspek yang juga lelaki warga Pakistan berusia 54 tahun melarikan diri selepas kejadian itu.

Katanya, mangsa dihantar ke HTJ untuk rawatan namun keadaannya semakin teruk sebelum disahkan meninggal dunia jam 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan suspek diburu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X