Jumaat, 18 Januari 2019 | 9:56pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Tapah memeriksa kenderaan SUV terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kampung Batu 9, Jalan Pahang-Cameron Highlands. - Foto Ihsan pembaca
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Tapah memeriksa kenderaan SUV terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kampung Batu 9, Jalan Pahang-Cameron Highlands. - Foto Ihsan pembaca

SUV terbabas ke dalam gaung

TAPAH: Tiga cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kampung Batu 9, Jalan Pahang-Cameron Highlands, di sini lewat petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, seorang lelaki dan dua wanita dewasa yang menaiki kenderaan jenis Lexus itu cedera.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, berkata maklumat mengenai kejadian diterima daripada orang awam pada jam 6.07 petang dan sebaik tiba di lokasi mendapati sebuah SUV terbabas ke dalam gaung.

“Kenderaan itu terbabas ke gaung sedalam kira-kira dua meter dan terdapat tiga mangsa dalam kenderaan berkenaan.

“Semua mangsa mengalami kecederaan dan bomba bertindak mengangkat mereka menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semua mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan operasi diketuai Abd Rahman Ibrahim tamat pada jam 6.45 petang.

Berita Harian X