Rabu, 16 Januari 2019 | 1:36pm
ORANG ramai mengusung mayat seorang lelaki yang ditemui lemas di Kampung Dengir, Jertih. - Foto ihsan bomba
ORANG ramai mengusung mayat seorang lelaki yang ditemui lemas di Kampung Dengir, Jertih. - Foto ihsan bomba

Lelaki gagal menyamun ditemui lemas

JERTIH: Lelaki yang dilihat terjun ke dalam Sungai Besut selepas didakwa gagal menyamun seorang wanita berusia 62 tahun di Kampung Dengir di sini pada Isnin lalu, ditemui lemas.

Mayat mangsa berusia 45 tahun itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 8.42 pagi tadi, kira-kira 30 meter dari lokasi dia dilaporkan terjun dalam kejadian petang dua hari lalu.

Ketua Balai Bomba Jertih, Hanaffi Mohd, berkata mayat ditemui dalam keadaan terapung dan masih lengkap berpakaian.

“Keadaan air sungai yang agak tenang memudahkan operasi pencarian hari ini. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7 pagi semalam sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata lelaki bersenjatakan parang itu dikatakan cuba menyamun wanita berkenaan yang juga penternak lembu, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Katanya, mangsa bagaimanapun menjerit sehingga suspek melarikan diri.

“Wanita itu nampak lelaki berkenaan terjun ke dalam sungai untuk melarikan diri, mungkin bimbang ditangkap. Penduduk kampung kemudian menemui beg pinggang bersama kad pengenalan dipercayai milik lelaki itu di tepi sungai.

“Mereka kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X