Isnin, 14 Januari 2019 | 3:11pm

Pakar bedah jantung kekal bebas pertuduhan cederakan isteri

PUTRAJAYA: Seorang pakar bedah jantung yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya kira-kira empat tahun lalu, kekal bebas daripada pertuduhan itu, hari ini.

Ia berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Wira Mohtarudin Baki yang sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar, 57.

Panel membuat keputusan itu selepas mendapati tiada sebarang merit dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan tertuduh.

Mohtarudin ketika membacakan keputusan itu berkata, Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengganggu dapatan dan keputusan Mahkamah Majistret dalam kes berkenaan.

Katanya, ia kerana perkara membabitkan kredibiliti saksi hendaklah diputuskan oleh Majistret.

Beliau berkata, penemuan oleh Majistret mengenai isu terbabit tidak boleh diganggu, melainkan keterangan saksi adalah lemah.

“Kami mendapati tiada keterangan itu (keterangan yang lemah). Oleh itu, kami tiada alasan untuk mengganggu keputusan Majistret,” katanya.

Yang turut bersidang, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Mahkamah Majistret sebelum ini melepas dan membebaskan Dr Raja Amin daripada pertuduhan sengaja mencederakan isterinya (kini bekas), Karina Ahmad Shah, 50, di sebuah rumah di Persiaran Ara, Bangsar, di sini, pada jam 1.30 pagi 9 Mac 2015.

Mahkamah Majistret membuat keputusan itu tanpa memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati tiada kes prima facie.

Raja Amin didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding rayuan hari ini, Raja Amin diwakili peguam, Abdul Razak Ismail, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azmi Mashud dan Ahmad Sazilee Ahmad Khairi.

Berita Harian X