X
Ahad, 13 Januari 2019 | 10:17pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Persiaran Hulu Langat. - Foto Ihsan pembaca
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Persiaran Hulu Langat. - Foto Ihsan pembaca

2 sahabat maut motosikal dirempuh

SHAH ALAM: Dua sahabat maut selepas motosikal ditunggang mereka dipercayai dirempuh sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) BMW X3 di Persiaran Hulu Langat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.40 pagi itu, penunggang motosikal Honda Dash itu dikenali sebagai Siti Mukarromah Mohd Jaizun, 20, dan pembonceng adalah Nazirah Mohd Halid, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal polis mendapati, SUV terbabit dalam perjalanan dari arah Persiaran Sepang dan bergerak secara lurus.

Menurutnya, kemalangan itu terjadi apabila motosikal dinaiki kedua-dua mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai secara tiba-tiba membelok masuk ke simpang kanan jalan raya berkenaan.

“Kenderaan dipandu lelaki berusia 32 tahun itu tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal dinaiki kedua-dua mangsa.

“Penunggang dan pembonceng disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Azman berkata, SUV berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian depan manakala motosikal dinaiki mangsa ditemui terperosok di bawah kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X