Ahad, 13 Januari 2019 | 8:52pm
HERNA Hasim menunjukan gambar anaknya Nortissya yang dijadikan tebusan oleh suspek di Telipok Jaya, Kota Kinabalu. - Foto Junaidi Ladjana
HERNA Hasim menunjukan gambar anaknya Nortissya yang dijadikan tebusan oleh suspek di Telipok Jaya, Kota Kinabalu. - Foto Junaidi Ladjana

Rayu bebaskan anak saudara ketika suspek acu pisau pada leher

TUARAN: “Saya berkali-kali merayu kepada lelaki itu (suspek) kerana kasihan melihat anak saudara dalam keadaan lemah dengan pisau dipegang suspek diacukan pada lehernya,” kata Mohd Karim Bantala, 42.

Menurutnya, ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Zohor lalu terkejut apabila dimaklumkan anak saudaranya diculik oleh seorang lelaki.

“Saya segera naik ke tingkat 4 dan meminta suspek untuk melepaskan anak saudara saya, tetapi dia enggan dan minta supaya tidak menghampirinya.

“Beberapa kali suspek cuba membuang (mencampak) anak saudara saya melalui tingkap. Saya hanya merayu supaya suspek melepaskannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Karim berkata, dia tidak mengenali suspek terbabit dan bersyukur anak saudaranya selamat.

Ibu kanak-kanak terbabit, Herna Hasim, 27, berkata ketika kejadian dia sedang berehat dalam rumah bersama ahli keluarga yang lain manakala anaknya bermain bersama kanak-kanak lain di luar rumah.

“Saya hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jiran menjerit mengatakan anak saya diculik... tanpa berlengah saya keluar dan dimaklumkan anak saya dibawa masuk ke dalam rumah jiran berhadapan dengan rumah.

“Saya tidak mengenali suspek terbabit dan tidak pernah menemuinya,” katanya.

Sementara itu, difahamkan, sebelum kejadian suspek dikatakan berkeliaran di tingkat bawah lokasi kejadian.

Suspek juga dikatakan sempat membeli air minuman daripada sebuah rumah yang menjual barangan runcit sebelum menculik mangsa yang sedang bermain di hadapan rumah berkenaan.

Berita Harian X