Ahad, 13 Januari 2019 | 8:23pm
ORANG ramai yang berada di tempat kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di rumah tingkat 4 pangsapuri di Taman Telipok Ria. - Foto Junaidi Ladjana
ORANG ramai yang berada di tempat kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di rumah tingkat 4 pangsapuri di Taman Telipok Ria. - Foto Junaidi Ladjana

4 jam cemas 'drama tebusan'

KOTA KINABALU: Beberapa das tembakan yang kedengaran di Taman Telipok Ria mengakhiri hayat suspek lelaki yang menjadikan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di rumah tingkat 4 pangsapuri di situ.

Ia sekali gus menamatkan ‘drama tebusan’ empat jam selepas suspek dikatakan menangkap kanak-kanak itu sebelum membawanya masuk ke sebuah rumah sambil mengacukan pisau di leher mangsa.

Suspek ditembak mati kira-kira jam 5.35 petang ketika dia mengacah-acah untuk mencampakkan kanak-kanak terbabit dari bahagian dapur rumah di tingkat empat itu.

Sejurus selepas itu, pasukan keselamatan segera menyelamatkan kanak-kanak terbabit yang cedera di leher lalu dibawa turun dan dihantar ke hospital dengan ambulans untuk rawatan.

Difahamkan, polis sebelum itu berusaha berunding dengan suspek supaya melepaskan kanak-kanak berkenaan, namun tidak diendahkan menyebabkan beberapa anggota bersenjata mengambil kedudukan di lokasi berhampiran, termasuk dalam rumah berdekatan.

Suspek juga beberapa kali kedengaran memberi amaran kepada polis supaya tidak masuk ke rumah berkenaan.

Terdahulu, kejadian bermula pada kira-kira jam 1 tengah hari tadi apabila lelaki dianggarkan berusia 30-an melarikan mangsa yang sedang berada di tingkat empat.

Lelaki yang tidak dikenali oleh penghuni di sini, membawa kanak-kanak terbabit ke sebuah rumah di tingkat 4, berdekatan rumah keluarga mangsa.

Polis kemudian mengepung rumah terbabit dan berusaha memujuk suspek supaya melepaskan kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan, lelaki itu bersembunyi di dalam tandas di rumah berkenaan.

Sepasukan anggota polis lengkap bersenjata juga dihantar ke lokasi kejadian dan anggota bomba bersedia di lokasi.

Beberapa penghuni turut menyediakan tilam di tingkat bawah bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Berita Harian X