Rabu, 9 Januari 2019 | 9:46pm
HASANAH hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin
HASANAH hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Hasanah tarik balik permohonan pindah kes ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam kes membabitkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, membuat pusingan U dengan membantah permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, yang memberitahu mahkamah selepas peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili Hasanah membantah permohonan itu dan Pejabat Peguam Negara mengeluarkan arahan supaya pendakwaan menarik balik permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membatalkan notis usul itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Februari ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Terdahulu, Muhamad Iskandar memberitahu pada 29 November lalu, pihak pembelaan memaklumkan akan memfailkan usul bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Katanya, pihaknya kemudian memfailkan permohonan itu dan pada 3 Januari lalu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, ia tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

“Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu, pihak pembelaan menghantar pesanan suara melalui aplikasi WhatsApp meminta pendakwaan menarik balik permohonan itu dengan alasan beliau yakin kes boleh dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

“Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini sudah beberapa kali bertanyakan kepada pembelaan sekiranya terdapat bantahan terhadap permohonan itu,” katanya.

Muhammad Iskandar berkata, pihaknya dukacita dengan keadaan ini.

“Mula-mula kata tiada bantahan, tiba-tiba mereka buat pusingan U pula. Apa pula persepsi hakim Mahkamah Sesyen berhubung tindakan pembelaan ini apabila kes dikembalikan ke mahkamah itu?” katanya.

Sementara itu, Shaharudin berkata pihaknya membuat pusingan U kerana ia hanya membabitkan kes pecah amanah dan bukan keselamatan negara seperti sabotaj dan pengintipan.

“Tidak menjadi masalah sekiranya anak guam saya mengubah fikiran selepas berunding dengan peguam,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hasanah, 61, didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di antara 30 April dan 9 Mei lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Berita Harian X