Rabu, 9 Januari 2019 | 1:19pm

Dua beradik berlumuran darah atas katil

YAN: "Sebaik lelaki itu beredar saya masuk semula ke dalam bilik tidur dan terkejut melihat keadaan anak berlumuran darah tidak bernyawa akibat dikelar dan ditetak,” kata Noorhasyelawati Yusoff, 37.

Noorhasyelawati adalah ibu kepada dua beradik, Nurul Hanim Idris, 5, dan adiknya, Mohammad Hafiz Idris, setahun, yang dibunuh seorang lelaki dalam kejadian amuk di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, suspek yang juga penganggur, sempat menjerit mengatakan dua kanak-kanak itu sudah bermandikan darah ketika Noorhasyelawati melarikan diri ke rumah ibu saudaranya yang terletak berdekatan.

Nurul Hanim ditemui dengan kesan tetak pada belakang badan dan Mohammad Hafiz dikelar pada leher, manakala abang sulung mereka, Mohammad Hakim, 7, terselamat kerana tidur di bilik bersebelahan bersama neneknya, Jamilah Ismail, 60.

Noorhasyelawati berkata, ketika kejadian, dia dan dua anaknya itu sedang tidur di bilik tingkat bawah rumah, manakala anak sulung dan ibu mentuanya tidur di bilik bersebelahan.

Katanya, dia terjaga apabila terdengar suara orang memanggil nama suaminya, Idris Saad, 47, yang tiada di rumah, sebelum terkejut mendengar bunyi bising di ruang tamu.

"Saya terus keluar dan ternampak seorang lelaki melibas abang ipar, Soberi (Soberi Saad, 52) di kiri muka sebelum dia meluru pula ke arah saya dan cuba menikam perut, namun tidak kena kerana saya terlindung langsir.

"Saya kemudian terus berlari keluar dan cuba meminta bantuan ibu saudara yang tinggal bersebelahan rumah sebelum lelaki itu melarikan diri," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Soberi berkata dia yang sedang tidur di tingkat atas terjaga apabila mendengar bunyi bising sebelum melihat kehadiran lelaki berparang di dalam rumah mereka.

"Ketika itu keadaan gelap dan samar-samar, lelaki itu terus menyerang saya menggunakan parang menyebabkan saya cedera di pipi kiri sehingga menerima 10 jahitan.

"Saya yang bimbang terus berlari keluar dan tidak sangka dia sanggup membunuh dua anak saudara yang sedang tidur," katanya.

Noorhasyelawati Yusoff. - Foto Sharul Hafiz Zam
Noorhasyelawati Yusoff. - Foto Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X