Rabu, 9 Januari 2019 | 12:22pm
Mohamad Hafiz Idris (kanan) dan Nurul Hanim. - Foto Sharul Hafiz Zam
Mohamad Hafiz Idris (kanan) dan Nurul Hanim. - Foto Sharul Hafiz Zam

Tak mahu makan petanda angah akan pergi

Yan: “Selalunya balik sahaja dari tadika, cucu saya (Nurul Hanim Idris, 5) akan makan dahulu, namun semalam dia tidak mahu makan sebelum masuk ke dalam bilik dan tidur sehingga ke malam”.

Demikian kata Jamilah Ismail, 60, nenek kepada Mohamad Hafiz Idris berusia setahun dan kakaknya, Nurul Hanim yang ditemui maut selepas dikelar dan ditetak seorang lelaki yang mengamuk di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai di sini, malam tadi.

Jamilah berkata, dia pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa apabila cucunya yang mesra dipanggil angah itu berkelakuan sedemikian.

Menurutnya, malah ketika bangun kira-kira jam 11 malam tadi, Nurul Hanim tetap tidak mahu makan dan apabila ditanya dia masuk semula ke dalam bilik dan terus tidur.

“Tidak lama kemudian saya yang berada di dalam bilik lain bersama cucu lelaki sulung, Mohammad Hakim, 7, terdengar orang menjerit dan mengamuk di halaman rumah.

“Saya kemudian mendengar pintu dapur ditendang dan lelaki itu bertanya di mana menantu saya Idris (Idris Saad, 47). Saya beritahu Idris tidak ada sebelum adik menantu saya yang berada di tingkat atas turun ke bawah, namun dia diserang dan cedera di telinga,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jamilah berkata, ketika kejadian itu menantunya itu tiada di rumah kerana ke laut menangkap ikan selain tidak menyangka lelaki itu tergamak membuat cucunya seperti itu.

“Ketika berlari keluar menyelamatkan diri, hati saya terdetik apa dia hendak buat kepada cucu yang masih di dalam bilik.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku, angah ketika pulang tadika sempat menunjukkan lukisan yang baharu dilukis dan saya meminta dia menyimpannya elok-elok dan tunjukkan kepada emaknya nanti,” katanya.

Berita Harian X