Rabu, 9 Januari 2019 | 12:05pm

Penjawat awam ditahan 'lalok' waktu rehat

ALOR SETAR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan 24 individu disyaki penagih dadah termasuk seorang penjawat awam yang masih memakai tanda nama dalam serbuan di Kampung Kuala Sala, Yan, dekat sini, semalam.

Ketua AADK Yan, Mohamad Ramli, berkata dalam operasi bermula jam 8 pagi hingga 3 petang itu, mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 60 tahun dengan pemeriksaan lanjut mendapati 22 daripadanya positif dadah jenis opiat dan dua methamphetamine.

“Kita menerima aduan mengenai kewujudan sarang penagihan dadah di Kampung Kuala Sala sebelum berjaya menahan 24 lelaki termasuk seorang penjawat awam yang disyaki sanggup pergi ke lokasi itu semata-mata ingin mendapatkan bekalan dan melepaskan gian.

“Penjawat awam berusia 30-an yang memakai tanda nama pada kemejanya tanpa segan masuk ke kawasan sarang penagihan ketika waktu rehat tengah hari.

“Dia yang tinggal di kawasan Yan mengaku menghisap dadah jenis methamphetamine sejak lima tahun lalu, namun tidak pernah tertangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, melalui operasi itu pihaknya mendapati dadah jenis opiat menjadi tumpuan penagih berikutan harganya yang rendah dan mudah diperoleh berbanding methamphetamine.

“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke Pejabat AADK Yan untuk tindakan lanjut dengan 15 suspek ditempatkan di Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat sebelum proses pendakwaan.

“Seramai tujuh suspek dilepaskan dengan jaminan dan mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Mohamad berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi AADK di talian 03-89112233 atau 019-6262233.

Berita Harian X